JULAI 2023

3,900 Peserta Sertai Perarakan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka


KUCHING: Acara perhimpunan dan perarakan menjadi kemuncak Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka, di sini pada 22 Julai ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak 60 kontinjen akan menyertai acara terbabit yang bermula jam 8 pagi.

"Kira-kira 3,900 peserta menyertai perarakan itu,” katanya pada  sidang media di Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya, di sini.

Acara ini dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud  dan isteri Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang.

Abdul Karim berkata, pada hari itu turut diadakan Majlis Penyampaian Pingat Peringatan Jubli Intan 2023 di The Waterfront Hotel di sini jam 11.30 pagi dengan simboliknya seramai 60 orang akan menerima empat jenis pingat bagi memperingati sumbangan mereka kepada Sarawak.

Ini diikuti  Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini bermula jam 8 malam dan Konsert Rakyat yang mempersembahkan penyanyi dari Sarawak, Semenanjung dan Indonesia serta persembahan bunga api di Padang Merdeka di sini bermula jam 7.15 malam.

Selain itu, pihaknya  juga akan melancarkan buku khas berjudul "60 Tahun Sarawak Merdeka: Sarawak Maju Makmur," pada hari terbabit.

Sumber dari : Jiwa Bakti